Saturday, June 6, 2015

Luahan Pengerusi SukaGuam berkenaan isu penangguhan program Dialog PM bersama NGO sehingga mencemarkan imej banyak pihak.

1. Sebelum penganjuran program Dialog PM bersama NGO, kami telah bertemu dengan sekurang-kurangnya 3 Pegawai Kanan DS Najib di Putrajaya yang sangat positif dan mahukan program ini mencapai matlamatnya. Malah, idea awal program ini juga adalah hasil perbincangan dua hala antara penganjur & beberapa pegawai kanan DS Najib termasuk seorang pegawai kanan  yang dipertanggungjawabkan menyelaras program ini bersama-sama. Justeru, adalah kurang adil jika SukaGuam selaku penganjur serta beberapa pihak lain yang membantu kami dijadikan kambing hitam (scapegoat) serta dijadikan bahan tohmahan.

2. Kami percaya, keadaan akan menjadi sebaliknya (penganjur tidak akan dipersalahkan) jika program Dialog yang dirancang semalam, tidak 'diganggu' secara berlebihan oleh pegawai berkenaan (dan sekutunya).

3. Sebenarnya, penganjur telah pun mendapatkan pandangan dari pegawai-pegawai kanan PM berhubung banyak aspek termasuk kemungkinan jika Tun Dr Mahathir menghadirkan diri. Seperti diakui oleh Tun Mahathir, beliau tidak diundang secara rasmi, namun hadir sebagai tetamu apabila diwar-warkan dalam media mengenai kemungkinan kehadiran beliau ke majlis Dialog itu. Malah, beberapa NGO yang Tun naungi bersedia memberikan kad undangan yang mereka terima bagi membolehkan Tun Mahathir hadir.

4. Atas dasar itulah, apabila ditanya oleh wartawan mengenai kemungkinan Tun Mahathir akan hadir, penganjur mengakui tidak akan menghalang kehadiran Tun sebagai salah seorang tetamu pada majlis berkenaan. Berita ini dilaporkan dalam pelbagai media dan penganjur bersedia dengan sebarang kemungkinan. Penganjur menyediakan satu kerusi (yang dilabelkan dengan nama Tun Mahathir) bersama para hadirin lain dan turut menyediakan bilik tertutup (holding room) sebagai persediaan jika Tun benar-benar hadir. Rata-rata dari kalangan pegawai PM amat positif akan perkembangan ini kerana DS Najib menunjukkan keyakinan yang amat tinggi untuk merungkaikan segala persoalan.

5. Namun demikian, pegawai kanan berkenaan (dan yang sekutu dengannya) yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras program ini  telah bertindak berlebihan dalam beberapa perkara. Ini saya simpulkan sebagai 'pertembungan ego' beliau yang akhirnya menjadikan SukaGuam dan beberapa pihak lain sebagai kambing hitam dan mangsa keadaan.

6. Justeru, ada benarnya seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pemimpin-pemimpin Umno sendiri, aktivis NGO dan rakyat, bahawa yang merosakkan imej DS Najib bukanlah sangat oleh pihak luar, tetapi dari kalangan orang dalam sendiri.

7. Saya berkesempatan meluahkan perkara ini secara terus-terang kepada DS Najib pada petang semalam  untuk menjelaskan situasi sebenar, dan dari riak wajah Perdana Menteri, beliau menerima baik dan memahami apa yang saya cuba sampaikan. Kami cuma berharap beliau mengambil tindakan tegas terhadap individu ini ( dan yang sekutu dengannya).

8. Sebagai contoh, ketika Tun Mahathir hadir di awal pagi program, pihak penganjur menyediakan satu bilik tertutup supaya DS Najib boleh minum secangkir kopi bersama Tun Mahathir, sebagai memulakan semangat ukhwah persahabatan dan silaturrahim.

9. Apabila DS Najib sudah dalam perjalanan dan dinasihati Ketua Polis Negara mengenai keadaan di PWTC, penganjur berpandangan bahawa DS Najib perlu hadir bagi membuktikan beliau berjiwa besar dan bersedia bertemu wajah dengan Tun Mahathir, sambil berbual mengenai apa jua perkara.

10. Kami yakin dan percaya, sekalipun program dialog itu ditunda atas nasihat polis, pertemuan perlu diteruskan antara DS Najib dan Tun Mahathir dalam bilik tertutup kerana ini akan membuka lembaran baru dalam konteks politik Malaysia sekaligus meredakan hati pendokong-pendokong masing-masing.

11. Malangnya, pegawai berkenaaan telah berusaha menghalang kehadiran Perdana Menteri, menghantar laporan yang kurang tepat, menangguk di air keruh dengan menokok-tambah cerita kepada DS Najib kononnya Perdana Menteri akan diejek sekiranya hadir ke PWTC. Walaupun penganjur akur dengan arahan polis supaya program Dialog bersama NGO ditangguhkan atas sebab keselamatan, namun alang-alang Tun Mahathir sudah bersedia untuk bertemu DS Najib, ia tidak sewajarnya dihalang. Isu keselamatan tidak timbul sama sekali jika mereka bertemu dalam bilik yang tertutup.

12. Bayangkanlah 'feel good factor' yang akan dialami oleh seluruh rakyat Malaysia sekiranya foto DS Najib dan Tun Mahathir sedang menikmati kopi dan berbual dalam keadaan mesra menjadi viral dan foto mereka bersalaman mesra menjadi tatapan rakyat yang rindukan persahabatan dan perdamaian pemimpin-pemimpin mereka. Tidak mengapalah Dialog bersama NGO tidak dapat diteruskan, asalkan persaudaraan dan persahabatan antara kedua-dua pemimpin ini dapat ditautkan apatah lagi dalam keberkatan hari Jumaat di bulan Sya'ban ini,

13. Kepada pihak-pihak yang memberi nasihat dan semangat kepada kami (anda tahu siapa anda), jutaan terima kasih kami ucapkan.

14. Kepada individu berkenaan dan sekutunya (anda tahu siapa anda), hentikanlah menjadikan SukaGuam dan sahabat-sahabat kami sebagai kambing hitam (scapegoat). Hentikanlah serangan peribadi, fitnah dan tohmahan.

15. Jika masih berterusan, terutama melalui agen-agen anda, kami tidak teragak-agak untuk mendedahkan lebih lanjut beserta bukti dan saksi-saksi hidup kerana apa yang kami dambakan sebagai rakyat Malaysia ialah perdamaian dan kesepakatan antara pihak-pihak yang berbeda pandangan dalam isu-isu yang berlaku dalam negara.

16. Tampaknya, ada pihak yang tidak senang melihat perubahan landskap politik yang bakal berlaku sekiranya perancangan semalam berlangsung dengan jayanya kerana pertembungan berterusan antara DS Najib dan Tun Mahathir boleh terus menguntungkan agenda peribadinya.

17. Kami tidak akan teragak-agak menyatakan kebenaran yang hak dan yang batil. Kami berpegang teguh dengan Sabda Rasulullah SAW- "Kulill Haq Wa Lau Kaana Murro" (Maksudnya, berkatalah yang hak (benar) sekalipun ia pahit).

18. Ingin kami jelaskan niat sebenar SukaGuam untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memulihkan perpaduan orang Melayu Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang kini jelas terbahagi kepada banyak kumpulan. Bagi kami, jika tidak berjaya sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya program ini dapat membuka langkah pertama untuk meleraikan kekusutan yang berlaku sesama kita.

18. Mana tahu, dengan kemuliaan Ramadhan yang bakal menjelang, Allah bukakan pintu rahmat-Nya untuk mendamaikan hati semua pihak dan mengorak langkah perpaduan yang sangat dirindukan rakyat Malaysia.

19. Marilah kita teguh dan beristiqamah dengan perintah Allah melalui firman-Nya:-
" Sebenarnya, orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat" (Al Hujurat, ayat 10).

Ikhlas,
Khairul Anwar Rahmat
SukaGuam

Kome Sokmo

FB  : Kome Sokmo
Twitter : @komesokmo
Instagram : Kome Sokmo

Friday, June 5, 2015

PROGRAM PM BERSAMA NGO DIHIJACK PENYOKONG TUN MAHATHIR

PROGRAM PM BERSAMA NGO DIHIJACK PENYOKONG TUN MAHATHIR

Dialog PM bersama NGO hari ini telah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara atas sebab keselamatan.  Seorang lelaki telah ditangkap diluar dewan sebelum Penyokong Tun M merempuh masuk pintu utama Dewan Tun Hussein Onn.

Tun M dan Penyokongnya kemudiannya telah mengambil alih pentas utama dan bukan duduk di kerusi yang disediakan untuk beliau dibawah.  Atas desakan penyokong Tun M, Pengerusi Majlis terpaksa membenarkan Tun M berucap sehingga pihak polis datang meminta Tun M berhenti berucap secara baik.  Tun M kemudiannya telah mengadakan sidang media di atas Pentas Utama tersebut selama setengah jam.

Saya tabik kepada pihak penganjur yang bersikap professional menyediakan kerusi buat Tun M di bahagian depan sekali. Walaupun Tun M tidak dijemput, kerusi untuk beliau telah disediakan kerana pegawai khasnya menyebarkan dalam internet bahawa beliau akan hadir.  Malangnya kerusi tersebut tidak digunakan, sebaliknya Tun dan penyokongnya telah mengambilalih pentas utama.

Turut mengecewakan, Dato Khairul, Pengerusi Sukaguam yang menjadi penganjur Program Dialog NGO bersama PM ini, telah ditolak jatuh oleh Penyokong Tun M semasa rempuhan pintu utama berlaku.  Kekecohan ini mengakibatkan NGO yang datang dari jauh untuk berdailog dengan PM tidak dapat berbuat demikian kerana Pihak Polis telah menasihatkan PM agar tidak hadir majlis yang telah IGP Batalkan.

Amat menyedihkan, budaya rempoh pintu, tolak penganjur, hijack program orang, melakukan provokasi kini diajar oleh Tun Mahathir untuk diwarisi oleh orang Muda seperti saya.

Mohd Ridzuan Bin Ariff
Persatuan Belia Suara Rakyat

Kome Sokmo

FB  : Kome Sokmo
Twitter : @komesokmo
Instagram : Kome Sokmo

Thursday, June 4, 2015

LETAK JAWATAN JIKA HILANG KEPERCAYAAN KEPADA PERDANA MENTERI – ZAHID HAMIDI

June 4, 2015

PUTRAJAYA, 4 Jun – Anggota Kabinet yang hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya meletakkan jawatan mereka dan tidak perlu menunggu sehingga dipecat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, sebagai anggota Kabinet, ia menjadi satu "kewajipan" bagi menteri-menteri untuk bersetuju dengan perdana menteri terhadap setiap keputusan yang dibuat.

"Kuasa untuk melantik anggota Kabinet adalah milik mutlak perdana menteri. Jadi, ia adalah kuasa untuk memecat anggota Kabinet.

"Jika ada menteri-menteri yang hilang kepercayaan dengan perdana menteri, atau mempersoalkan keputusannya, lebih-lebih lagi bila mereka membuat kenyataan terbuka, perkara yang sebaik-baiknya ialah mereka meletakkan jawatan.

"Saya tidak fikir mereka mahu menunggu sehingga perdana menteri memecat mereka," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dilaporkan, Najib mengeluarkan 'kata dua' kepada menteri-menteri Kabinet supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong dengan beliau berhubung usaha pemulihan 1MDB.

Kome Sokmo

FB  : Kome Sokmo
Twitter : @komesokmo
Instagram : Kome Sokmo

Wednesday, June 3, 2015

Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke 54 yang bersidang pada 3 jun 2015/16 sya'ban 1436 H di KUIZM

Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.

9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.

MAKA Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

Diterima dgn sebulat suara 644 perwakilan Alim Ulamak jam 6.50 ptg.

Kome Sokmo

FB  : Kome Sokmo
Twitter : @komesokmo
Instagram : Kome Sokmo