Thursday, August 21, 2014

ISU KHALID IBRAHIM - Jangan Dilupa Nasib Rakyat Bandar Tun Razak

Ketika seluruh negara tertumpu pada nasib dan langkah yang akan dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menangani kemelut kerusi Menteri Besar Selangor, saya ingin menyeru supaya nasib rakyat Bandar Tun Razak yang juga diwakili oleh Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dipinggirkan.

Perkara ini perlu dibangkitkan berikutan pemecatan Khalid Ibrahim sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat secara tidak langsung menyebabkan parlimen Bandar Tun Razak diwakili oleh wakil rakyat bebas.

Selama 6 tahun Bandar Tun Razak diwakili oleh Khalid Ibrahim atas lambang Parti Keadilan Rakyat dan dalam masa yang sama sebagai Menteri Besar Selangor beliau gagal untuk memberi perkhidmatan yang baik dan banyak masalah rakyat yang tidak mampu diselesaikannya.

Saya pasti apabila beliau berseorangan dan sebagai wakil rakyat bebas sudah tentu beliau tidak mampu untuk melakukan tugasan sebagai wakil rakyat dengan baik. Malah pejabat Ahli Parlimen hari ini juga dalam masa yang sama merupakan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Bandar Tun Razak sentiasa tertutup rapat. Saya tidak berniat untuk mengambil kesempatan atas kepincangan yang berlaku tetapi lebih kepada melihat masalah dan masa depan yang bakal dihadapi oleh rakyat Bandar Tun Razak.

Justeru itu saya meminta dalam apa juga keputusan yang bakal diterima atau dibuat oleh Khalid Ibrahim beliau juga perlu mengambil kira secara serius nasib rakyat Bandar Tun Razak yang secara tidak langsung telah terheret dalam isu Menteri Besar Selangor.

Jangan dianiaya dan dihukum rakyat Bandar Tun Razak atas permasalahan dan kemelut politik dalaman Parti Keadilan Rakyat.

Khalid Ibrahim atau Parti Keadilan Rakyat perlu berlaku adil dan bertanggungjawab atas nasib rakyat Bandar Tun Razak.

DATUK RIZALMAN BIN DATO' MOKHTAR
Ketua Umno Bahagian
Bandar Tun Razak

Kome Sokmo

FB  : Kome Sokmo

Twitter : @komesokmo

1 comment: